Penyiraman Berlebihan

Air merupakan unsur yang paling utama dalam pertanian. Air mempengaruhi setiap proses dalam pertumbuhan pokok. Kekurangan air boleh menyebabkan kerugian yang besar pada ladang. Walau bagaimanapun, dalam penyediaan air kepada tanaman, pengusaha kadang kala menyediakan air secara berlebihan. Secara umumnya, tanaman memerlukan 5 mm untuk tumbuh dengan sihat. Sekiranya pokok diberikan air secara berlebihan dan saliran tidak baik, akar pokok akan tidak mendapat udara dan akan lemas. Ia juga boleh meningkatkan kemungkinan untuk akar pokok dijangkiti kulat dan reput. Pengairan yang berlebihan juga boleh menyebabkan baja yang diaplikasi pada tanah dibawa air.

Keterlebihan air tidak semestinya berlaku disebabkan program pengairan, Ada juga kemungkinan paras air bawah tanah agak tinggi menyebabkan pokok memdapat air yang berlebihan walaupun pengairan hanya diberikan dengan kadar yang sedikit. Tanah juga mempunyai pengaruh pada pegangan air. Maka, sebelum menanam, perlu melihat sifat fizikal tanah bagi melihat daya pegangan air tanah. Perkara yang sama juga boleh berlaku bagi tanaman fertigasi. Media tanaman yang digunakan mungkin mempunyai daya pegangan yang terlalu tinggi mengebabkan akar pokok kurang pengudaraan.

.

Ruang udara dan ruang air di antara partikel tanah. Sekiranya semua rongga dipenuhi air, pokok tidak boleh bernafas.

Bagi menentukan samada pokok mengalami keterlebihan air, perkara berikut boleh diperhatikan;

 

  1. Pokok kelihatan layu walaupun tanah lembab

Sekiranya pokok kelihatan layu walaupun tanah lembab atau basah dan sering disiram, kemungkinan berlaku penyiraman yang berlebihan. Daun keperangan, menjadi kekuningan dan pucuk gugur mudah disalah tafsir sebagai kekurangan air. Maka, sebelum mengambil langkah dengan terus menyiram air, periksa kelembapan tanah (bukan permukaan atas sahaja) pada kawasan berdekatan dengan pangkal pokok dengan pengesan kelembapan atau dengan merasakan menggunakan jari dengan mencucuk jari ke tanah dan rasakan samada tanah kering atau lembab.

 

  1. Edema

Apabila air berlebihan, sel pokok yang menyeram air melebihi keperluan itu akan mengembang dan menghadapi stress. Perkara ini boleh membawa kepada perpecahan  sel pokok. Kejadian ini boleh dikesan dengan melihat kesan parut putih pada tangkai atau daun kelihatan berlekuk.

.

Edema pada pokok yang diberi air secara berlebihan

  1. Akar reput

Apabila tanah tepu dengan air, keupayaan untuk akar bernafas terhad dan akan menyebabkan pokok lemas dan reput. Reputan akar berlaku akibat jangkitan kulat. Maka sekiranya akar sudah dijangkiti kulat, tanaman tersebut perlu dicabut bagi mengelak jangkitan pada tanaman lain.

.

Akar reput

Pokok yang sudah reput akarnya tidak dapat diselamatkan, walau bagaimanapun, sekiranya pokok menghadapi masalah air seperti di atas, kurangkan pemberian air pada tanah, dan pulihkan tanah sekiranya tanah tersebut terlalu mudah tepu. Sekiranya kawasan mudah banjir, perparitan perlu disediakan. Bagi mengelak daripada memberi air secara berlebihan, persekitaran kawasan tanaman perlu diperhatikan. Melembapan tanah tidak boleh ditentukan dengan hanya merasakan kelembapan pada bahagian atas tanah. Terdapat gadget yang bole digunakan bagi menentukan kelembapan tanah. Sekiranya tanah berada dalam keadaan kering dan pokok memerlukan air, pengairan yang secukupnya perlu diberikan.

Disediakan oleh : Safwah Zai

Rujukan:

  1. https://www.scienceabc.com/nature/why-does-over-watering-kill-plants.html
  2. http://www.missouribotanicalgarden.org/gardens-gardening/your-garden/help-for-the-home-gardener/advice-tips-resources/pests-and-problems/environmental/overwatering.aspx
  3. https://www.jainsusa.com/blog/6-signs-you-are-overwatering-your-plants