Penyiraman Berlebihan

Air merupakan unsur yang paling utama dalam pertanian. Air mempengaruhi setiap proses dalam pertumbuhan pokok. Kekurangan air boleh menyebabkan kerugian yang besar pada ladang. Walau bagaimanapun, dalam penyediaan air kepada tanaman, pengusaha kadang kala menyediakan air secara berlebihan. Secara umumnya, tanaman memerlukan 5 mm untuk tumbuh dengan sihat. Sekiranya pokok diberikan air secara berlebihan dan saliran tidak baik, akar pokok akan tidak mendapat udara dan akan lemas. Ia juga boleh meningkatkan kemungkinan untuk akar pokok dijangkiti kulat dan reput. Pengairan yang berlebihan juga boleh menyebabkan baja yang diaplikasi pada tanah dibawa air.

Keterlebihan air tidak semestinya berlaku disebabkan program pengairan, Ada juga kemungkinan paras air bawah tanah agak tinggi menyebabkan pokok memdapat air yang berlebihan walaupun pengairan hanya diberikan dengan kadar yang sedikit. Tanah juga mempunyai pengaruh pada pegangan air. Maka, sebelum menanam, perlu melihat sifat fizikal tanah bagi melihat daya pegangan air tanah. Perkara yang sama juga boleh berlaku bagi tanaman fertigasi. Media tanaman yang digunakan mungkin mempunyai daya pegangan yang terlalu tinggi mengebabkan akar pokok kurang pengudaraan.

.

Ruang udara dan ruang air di antara partikel tanah. Sekiranya semua rongga dipenuhi air, pokok tidak boleh bernafas.

Bagi menentukan samada pokok mengalami keterlebihan air, perkara berikut boleh diperhatikan;

 

  1. Pokok kelihatan layu walaupun tanah lembab

Sekiranya pokok kelihatan layu walaupun tanah lembab atau basah dan sering disiram, kemungkinan berlaku penyiraman yang berlebihan. Daun keperangan, menjadi kekuningan dan pucuk gugur mudah disalah tafsir sebagai kekurangan air. Maka, sebelum mengambil langkah dengan terus menyiram air, periksa kelembapan tanah (bukan permukaan atas sahaja) pada kawasan berdekatan dengan pangkal pokok dengan pengesan kelembapan atau dengan merasakan menggunakan jari dengan mencucuk jari ke tanah dan rasakan samada tanah kering atau lembab.

 

  1. Edema

Apabila air berlebihan, sel pokok yang menyeram air melebihi keperluan itu akan mengembang dan menghadapi stress. Perkara ini boleh membawa kepada perpecahan  sel pokok. Kejadian ini boleh dikesan dengan melihat kesan parut putih pada tangkai atau daun kelihatan berlekuk.

.

Edema pada pokok yang diberi air secara berlebihan

  1. Akar reput

Apabila tanah tepu dengan air, keupayaan untuk akar bernafas terhad dan akan menyebabkan pokok lemas dan reput. Reputan akar berlaku akibat jangkitan kulat. Maka sekiranya akar sudah dijangkiti kulat, tanaman tersebut perlu dicabut bagi mengelak jangkitan pada tanaman lain.

.

Akar reput

Pokok yang sudah reput akarnya tidak dapat diselamatkan, walau bagaimanapun, sekiranya pokok menghadapi masalah air seperti di atas, kurangkan pemberian air pada tanah, dan pulihkan tanah sekiranya tanah tersebut terlalu mudah tepu. Sekiranya kawasan mudah banjir, perparitan perlu disediakan. Bagi mengelak daripada memberi air secara berlebihan, persekitaran kawasan tanaman perlu diperhatikan. Melembapan tanah tidak boleh ditentukan dengan hanya merasakan kelembapan pada bahagian atas tanah. Terdapat gadget yang bole digunakan bagi menentukan kelembapan tanah. Sekiranya tanah berada dalam keadaan kering dan pokok memerlukan air, pengairan yang secukupnya perlu diberikan.

Disediakan oleh : Safwah Zai

Rujukan:

  1. https://www.scienceabc.com/nature/why-does-over-watering-kill-plants.html
  2. http://www.missouribotanicalgarden.org/gardens-gardening/your-garden/help-for-the-home-gardener/advice-tips-resources/pests-and-problems/environmental/overwatering.aspx
  3. https://www.jainsusa.com/blog/6-signs-you-are-overwatering-your-plants

Mempengaruhi Pembungaan Tanaman Durian dan Rambutan

Secara amnya buah-buahan menghasilkan buah dalam jumlah yang lebih tinggi apabila tiba musimnya. Walau bagaimanapun, apabila penghasilan buah tropika dikeluarkan semasa luar musimnya, harga dipasaran mempunyai nilai yang lebih tinggi. Bagi menghasilkan buah pada luar musimnya, beberapa teknik boleh dijalankan bagi mempengaruhi pembungaan. Teknik-teknik ini boleh diringkaskan dengan kata kunci pengawalan air, penggunaan baja dan penggunaan peransang.

  1. Kawalan Kelembapan Tanah

Bagi meransang pembungaan, tekanan boleh dikenakan kepada pokok dengan mengawal pengairan dan mengurangkan air. Bagi mengawal kelembapan, perparitan memainkan peranan. Peparit yang banyak diperlukan bagi mengurangkan paras air bawahan tanah dan mengalirkan air ladang keluar. Seterusnya, permukaan tanah perlu ditutup dengan bahan yang boleh mengelakkan tanah dari meresap air. Tekanan akibat kekurangan air pada akar pokok akan meransang pembungaan tanpa memberi kesan negatif pada pokok.

 

  1. Penggunaan Perangsang

Penggunaan peransang boleh menghadkan pertumbuhan vegetatif pada pokok dan menggalakkan penghasilan bunga dan buah.Bagi pokok rambutan, jadual semburan boleh rujuk di bawah;

 

Masa semburan

Jenis Semburan

Kepekatan

Kekerapan

Pengeluaran pucuk daun Potassium nitrate (KNO3)

5/1000

2 kali (selang 7 hari)

Pucuk mula menjadi hijau gelap Paclobutrazol

1/1000

1 kali

Selang 7 hari semburan Paclobutrazol Thiourea

5/1000

2 kali (selang 7 hari)

 

Pada pokok durian, penggunaan paclobutrazol dengan kepekatan 1/1000 sesuai dan dapat meransang pembungaan. Semburan peransang disembur pada foliar pokok. Semburan yang dilakukan pada akar akan meninggalkan sisa yang lama di dalam tanah dan boleh menyebabkan pokok terbantut. Masa yang terbaik untuk semburan peransang adalah 3 bulan sebelum jangkaan masa pembungaan asal.

 

  1. Pembajaan

Penggunaan baja yang sesuai boleh membawa kepada penghasilan bunga awal daripada musimnya. Pengunaan baja yang tinggi unsur P dan K akan meransang penghasilan bunga. Semburan baja foliar yang sesuai juga boleh mengagih pembungaan dengan lebih sekata.

Antara penggunaan baja yang telah dijalankan adalah campuran 1.0kg N + 1.2 kg P2O5 + 1.5 kg K2O + 15 kg baja organik dan semburan baja foliar 2 kali.

Penggunaan baja ini dapat meransang pembungaan awal serta meningkatkan kualiti dan kuantiti buah.

 

Rujukan

  1. Do Trung Binh, Tran Thi Viet & Nguyen Luong Thien, “Earily Blossoming Technique for Rambutan and Durian in the Uplands of South Region, Thailand”, Info Pertanian (45): 26 – 29.
  2. Z. Rushidah & S. Abd. Razak. 2001. Effects of paclobutrazol application on flowering time, fruit maturity and quality of durian clone D24. J. Trop. Agric. and Fd. Sc. 29(2)(2001): 159–165.

 

Disediakan oleh : Safwah Adani Zainuddin, BSP, UPM

Kesan Kebakaran Kimia pada Pokok

Kesan terbakar pada pokok akibat pembajaan merupakan sesuatu yang biasa. Perkara ini selalu dikaitkan dengan baja yang dikatakan panas. Walau bagaimanapun, kesan seperti terbakar pada pokok boleh berlaku kerana beberapa perkara. Apabila berkaitan dengan pembajaan, maka kemungkinan pokok itu mendapat pembajaan yang berlebiihan atau baja yang digunakan itu mengandungi kandungan garam yang tinggi.

.

Kesan terbakar pada pokok tulip

Simptom terbakar pada daun kebiasaannya akan menunjukkan kesannya sehari atau dua hari selepas melakukan pembajaan. Kesan daripada baja yang larut secara perlahan atau slow release fertilizer yang berlebihan akan dapat dilihat pada jangka yang lebih lama. Baja kimia yang mengandungi kandungan baja yang tinggi dan penggunaan baja secara berlebihan akan menyebabkan air daripada pokok ditarik keluar, dan pokok akan mengering menyebabkan pokok kekurangan air dan kelihatan terbakar.

.

Kesan terlebih N pada tanaman

Bagi mengelak pokok terbakar, pembajaan perlu dilakukan mengikut keperluan pokok tersebut. Pembajaan secara berlebihan boleh menyebabkan toksisiti tanah. Maklumat lanjut mengenai perkara ini boleh dibaca daripadi link ini: https://fastgrow.my/2019/04/30/toksisiti-nutrien/

Penggunaan slow release fertilizer (SRF) dan controlled release fertilizer (CRF) boleh mengurangkan risiko pokok terbakar kerana baja dilepaskan dengan kadar yang perlahan. Kemungkinan pokok terbakar lebih tinggi pada musim kemarau kerana baja menjadi lebih pekat dalam tanah tanpa air. Penggunaan kompos atau baja organik juga boleh mengurangkan risiko pokok terbakar kerana ia juga mengeluarkan nutrient dengan kadar yang perlahan.

Sekiranya pokok sudah kelihatan seperti terbakar akibat terlebih pembajaan, maka baja yang berlebihan perlu dialihkan daripada tanaman dan lalukan dengan air yang banyak bagi membasuh pokok sekiranya terdapat baja yang terkena baja pokok dan membenarkan nutrien diagihkan dengan rata dalam tanah. Kemungkinan juga baja yang digunakan mempunyai kandungan kimia yang tinggi atau tidak bersesuaian dengan tanaman, maka baja yang digunakan mungkin perlu diubah dengan baja yang lebih sesuai.

 

Disediakan oleh:

Safwah Adani Zainuddin

BSP, UPM

Rujukan

  1. https://www.gardeningknowhow.com/garden-how-to/soil-fertilizers/what-is-fertilizer-burn.htm
  1. McCauley, 2011, Plant nutrient fuction and deficiency and Toxicity symptoms, http://landresources.montana.edu/nm/documents/NM9.pdf
  1. https://www.ortho.com/en-us/problems-and-solutions/chemical-or-fertilizer-burn

Pengurusan Tanaman Nangka

Tanaman nangka merupakan salah satu tanaman yang popular ditanam di Malaysia. Ia merupakan sejenis tanaman daripada keluarga Moraceae seperti mulberry dan buah tin. Tanaman nangka merupakan tanaman yang tidak bermusim. Ini bermaksud, ia akan boleh menghasilkan sepanjang tahun. Secara umumnya, nangka akan bermula berbunga 3 hingga 4 tahun setelah ditanam dan diuruskan dengan baik. Antara klon yang popular ditanam dan berdaftar di Malaysia adalah klon J29, J32 (Mantin), J33 (Tekam Yellow) dan J35 (Mastura). Walau bagaimanapun, kini klon J33 menjadi klon utama bagi tanaman komersial nangka.

.

Pembajaan Tanaman Nangka

Tahun

Jenis Baja Kuantiti Kekerapan

1

NPK Hijau  (15:15:15)

Organik

1.0 kg

10.0 kg

4 bulan sekali

2

NPK Hijau  (15:15:15)

Organik

1.0 kg

10.0 kg

4 bulan sekali

3

NPK Hijau  (15:15:15)

Organik

1.5 kg

15.0 kg

4 bulan sekali

4

NPK Biru    (12:12:17:2)

Organik

2.0 kg

15.0 kg

4 bulan sekali

5

NPK Biru    (12:12:17:2)

Organik

2.5 kg

20.0 kg

4 bulan sekali

6 NPK Biru    (12:12:17:2)

Organik

3.0 kg

30.0 kg

4 bulan sekali

7 NPK Biru    (12:12:17:2)

Organik

4.0 kg

40.0 kg

4 bulan sekali

Program pembajaan nangka mengikut Jabatan Pertanian

Penyakit dan Perosak Tanaman Nangka

Penyakit Penerangan Kawalan
1. Penyakit Mati Rosot

(Ervinia caratovora)

Sekiranya berlaku pada batang utama, pokok menjadi kuning, daun keguguran dan pokok akan mati.

 

– Amalkan pembersihan ladang

– Pokok yang dijangkiti dengan teruk perlu dibuang dan bakar

2.  Penyakit Reput Buah

    (Rhizopus spp.)

 

– Tangkai atau seluruhan tengah buah.

– Bintik perang karat pada buah.

– Kulit buah keperangan.

 

– Amalan pertanian baik

– Tanaman varieti tahan penyakit.

– Pembajaan dan pengapuran sempurna

– Sekiranya serangan teruk, semburkan racun kuprum.

 

3.  Pink Disease

(Erythricum salminolor)

– Kulat tersebar melalui angin.

– Tompok putih pada batang dan ranting. Tompok merebak sehingga menjadi warna merah jambu.

– Daun pada ranting yang berjangkit akan layu dan gugur.

 

– Semburan racun kuprum.

Perosak Kerosakan Kawalan
1. Lalat buah

    (Bactrocera spp.)

 

– Lalat dewasa bertelur pada buah yang hampir masak.

– Larvae akan mengorek dan memakan isi buah.

 

– Pembungkusan buah.

– memasang umpan bagi memerangkap lalat menggunakan methyl-eugenol.

 

2.  Pengorek buah

(Margaronia caesalis)

– Larva mengorek dan masuk ke dalam isi buah dan memakan buah dan meninggalkan lubang di permukaan buah.

 

– membalut buah dua minggu selepas berputik.

3. Pengorek Batang

(Apriona flavescens)

– Larva mengorek lubang sepanjang ranting dan batang.

– Pucuk dan daun menjadi kering dan kuning.

 

– Ranting yang diserang dipangkas dan dibakar

Pemangkasan

Pemangkasan merupakan satu pengurusan penting yang perlu dilakukan oleh pengurus sekurang-kurangnya sekali setiap tahun kerana pokok nangka merupakan pokok yang amat cepat membesar. Pemangkasan juga perlu dilakukan bagi membuang ranting-ranting yang berjangkit dengan penyakit atau diserang perosak.

Pemangkasan pada tanaman nangka penting bagi:

  1. Memudahkan pengurusan dan pengutipan hasil.
  2. Mengurangkan risiko penyakit.
  3. Memastikan pokok tumbuh dengan cergas dan subur.
  4. Memastikan pokok mendapat cahaya matahari dengan efisyen.

Bagi memudahkan penuaian dan menghasilkan buah yang besar dan sihat, pokok dikekalkan pada ketinggian 3 hingga 4 meter. Apabila pokok melebihi ketinggian tersebut, batang atas perlu dipangkas. Ranting paling rendah bermula pada ketinggian 1 meter. Ini boleh mengelakkan buah mencecah tanah. Ranting-ranting kurus daripada batang utama perlu dipotong dan sekiranya daun terlalu lebat atau ranting terlu dekat, ranting-ranting boleh dipotong bagi menggalakkan penerimaan matahari yang lebih baik pada pokok.

Penjarangan Buah

Pokok nangka akan mula berbuah setelah 3-4 tahun ditanaman, bergantung kepada klon dan pengurusan penanaman. Penjarangan buah perlu bagi memastikan penghasilan buah yang seragam, menarik untuk pemasaran dan mengurangkan beban pada pokok. Sekiranya terlalu banyak buah berputik pada satu pokok, buah tidak membesar dengan baik dan keperluan baja bertambah. Sebaiknya, selepas 3-4 minggu buah  berputik, kekalkan hanya beberapa buah yang terbaik pada pokok untuk membesar dengan baik. Buah yang dikekalkan perlu dibalut bagi mengelak penyakit dan perosak apabila saiz buah bersaiz 8-10 cm.

.

Penjarangan buah perlu dilakukan bagi menghasilkan buah yang berkualiti

Penuaian buah nangka

Buah nangka boleh dituai setelah 12-14 minggu setelah dibungkus bergantung kepada klon. Kematangan buah juga boleh dilihat melalui sifat fizikal buah. Apabila buah matang, duri buah menjadi semakin tumpul dan menjarak. Tangkai buah menjadi semakin mengecut dan bahagian absis buah membengkak. Apabila diketuk, buah mengeluarkan bunyi kosong.

Indeks Kematangan Buah Nangka

Indeks 1

Tidak matang. Keseluruhan permukaan kulit berwarna hijau sepenuhnya. Keadaan duri masih rapat dan tajam. Belum sesuai untuk dipasarkan.

Indeks 2

Matang. Sebahagian permukaan kulit berwarna hijau muda atau kuning kehijauan. Duri semakin lebar tetapi masih agak tajam. Sesuai untuk dituai dan akan masak dalam tempoh 3-4 hari.

Indeks 3

Masak. Permukaan kulit berwarna hijau muda atau kuning kehijauan. Duri semakin lebar dan kurang tajam. Buah mengeluarkan bau aroma yang agak kuat.

Indeks 4

Buah ranum. Keseluruhan permukaan kulit berwarna kuning kemerahan. Buah mengeluarkan bau aroma yang kuat.

 

Disediakan oleh,

Safwah Adani Zainuddin

BSP, UPM

LADA HITAM

 Lada hitam (Piper nigrum Linn) merupakan tanaman yang membiak melalui keratan batang ataupun melalui biji benih. Namun, penggunaan biji benih agak jarang digunakan dan ianya hanya digunakan dalam penyelidikanbagi mendapatkan varieti-varieti baru yang tahan kepada penyakit dan mampu mengeluarkan hasil yang tinggi.

Rasa pedas lada hitam adalah disebabkan oleh kandungan alkaloid piperine, chavisine dan juga piperettine didalam buah lada hitam tersebut. Disamping itu, rasa pedas lada hitam juga dipengaruhi oleh varieti dan faktor persekitaran.Musim yang sesuai bagi penanaman lada hitam adalah pada musim hujan (Okt – Dis) kerana dapat sumber air yang tinggi. Pengeluaran hasil pertama bagi buah lada hitam adalah pada awal musim hujan pada tahun ke-2.

Bahan Tanaman:

  • Keratan tanpa akar
  • Jarak tanaman: 2.5m X 2.0m (2,000 pokok/ha)
  • Keratan baru memerlukan naungan iaitu pokok muda perlu dilatih untuk tumbuh memanjat pada tiang sokongan. Contoh sokongan hidup yang boleh digunakan adalah jenis kekacang; Bunga Jepun (Gliricidia sepium) dan Dedap (Erythrina indica).
  • Secara tradisional, tiang sokongan yang sering digunakan adalah tiang kayu belian.

Tiang sokongan menggunakan batu bata.

Pembajaan:

  • Penggunaan baja kimia penting bagi mendapatkan hasil yang tinggi.
  • Pokok muda memrlukan pembajaan yang kerap terutamanya nutrient N, P dan K.
  • Pokok yang sudah matang juga memerlukan bekalan nutrient dalam kuantiti yang banyak.
  • Pengapuran dilakukan untuk mengawal kemasaman (pH) tanah dan juga meningkatkan kandungan zat makanan Ca dan Mg didalam tanah.

Pemangkasan:

  • Memerlukan kanopi yang sesuai.
  • 3 kali pemangkasan;

– 6 bulan selepas penanaman untuk keluarkan 3 pucuk utama.

– umur 12 – 14 bulan untuk capai ketinggian separuh tiang sokongan.

– apabila pucuk utama mencapai bahagian atas tiang sokongan dan seiring dengan pengeluaran buah yang pertama.

Perosak:

  • Kumbang Belalai (Lophobaris piperis)

  • Kepinding Lada (Dicronocoris neuetii)

  • Kumbang Rokok (Lasioderma serricorne)

Penyakit:

  • Penyakit Reput Akar (Phytophthora capsia)

  • Penyakit Buah Hitam (Collectotrichum capsia, C. piperis, C. gloesporioides)

  • Penyakit Akar Putih (Rigidoporus lignosus)

  • Penyakit Hawar Lembut (Septobaidium sp.)


RUJUKAN:

  • https://www.academia.edu/24138498/TANAMAN_LADA_HITAM 
  • https://www.academia.edu/9195652/Amalan_Pertanian_Yang_Baik_APB_Untuk_Penanaman_Lada_Piper_nigrum_L 

Disediakan oleh;

Shahfika Ismail

BSP (FP) UPM.